Biarkan aku mengusung pergi
Sebakul hati yang aku kutip sedari tadi
Yang kau campak bertaburan di sana sini
Yang kau hancurkan berterbangan berlari
Secebis hati ini
Adalah sisa kelmarin waktu kau memelukku erat
Dan katakan jiwa kita terlalu dekat
Nadi kita bersatu dan urat berselirat
Secebis ini pula
Adalah sisa kelmarin waktu kau memandangku tepat
Dan katakan jiwa kita terlalu sarat
Dengan segunung cinta hebat
Secebis yang itu
Adalah sisa cerita kau dan aku
Di tasik biru, di langit kelabu
Di hujung hutan batu
Di sebalik maya, merah dan jingga bersatu
Sungguh aku mahu hadiahkan senyum
Tapi tak daya
Kesudahan yang ku temu cuma lara
Penting untuk aku pecahkan mimpi-mimpi lama
Biar kacanya terusan mengguris rasa
No comments:
Post a Comment